Sebuah Yang Sejuta.
Sebuah pohon, bersama dahan-dahan berpecah kepada beberapa lagi cabang dahan yang jauh lagi ke penghujungnya, namun tetap ada penghujung, dan masih boleh untuk ditumbuhi dahan baru, dalam kata yang mudah, tidak dapat kita jangka penghujungnya bagaimana dan bila. Tidak lupa pada dedaun yang tumbuh pada dahan-dahan, hijau atau kuning. Seiring dengan waktu, lalu ia gugur, dipijak kaki, ditiup bayu pagi.
Terbang tanpa hala tuju.
Benarkah hidup kita tiada arah tuju?
Bukankah yang menciptakan kita itu penuh dengan perancangan?
Hatta, sehelai daun kering yang berguguran juga kaya dengan iradat-Nya.
Penuh, dengan aturan-Nya.
Teliti dan Yakin.
Lalu; dahan dan dedaun itu mewakili gambaran;
Sebuah pandangan.
Bercabang, warna dan warni.
Berbeza, beribu warna sehingga tiada yang dapat dikumpulkan, dibukukan, menjadi satu naskah agung buat tatapan.
Tiada.
Kerana jika dihitung, akan tetap ada yang baru, yang segar dan bersifat terbuka.
Itulah sebuah pandangan.
Yang tidak layak digelar 'sebuah' kerana ia akan tetap tumbuh, berbeza ilham dan punca.
Maka, pandangan itu tidak akan pernah salah.
Setiap pandangan, bersebab.
Tiada yang salah dengan pandangan selagi kita menerima pandangan yang lain.
Akan tetap ada yang tidak sependapat denganmu, itu yang perlu kamu mengerti dan hadam.
Sebuah yang tidak sebuah,
kerana dalam dirimu juga terdapat sebuah yang sejuta.
TENTANG SAYA
Seorang manusia seperti anda yang menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Kita sama sahaja.
0 comments:
Post a Comment