Cukup, gelap dan sejuk.

0321PM, 7 DISEMBER 2017.

Mahukah kau, mengikut pertimbanganmu, untukku sampaikan satu perkara? Bahawa ketidakcukupan itu tidak wujud. Sungai yang mengalirkan air, yang menghakis batuan tebing dan dasar, memusar membentuk lubuk dalam, yang singgah di kerongkongan musafir, masih ada tidak kering  bahkan diganti hujan ketika kemarau. Pepohon yang seribu satu kegunaan, yang akarnya erat mencengkam tanih yang pada awalnya berkesot perlahan, bercerita pula soal dedaun yang pada musim panas menjadi kanopi meneduhkan musafir penat berjalan, sehingga membuatkannya merasa cukup ditambah angin lembut. Turut serta buah-buahan ranum tinggal dipetik dengan nama Tuhan Allah, disuapkan ke mulut juga dengan nama Tuhan itu, kunyah, telan, dan hadam jua dengan nama Tuhan tersebut. Ah, banyak lagi tak terhitung dimata. Cukup rasanya hidup ini, tidak perlu wang berjuta, emas menutupi tubuh, intan jua berlian. Benar sungguh bahawa ketidakcukupan itu tidak wujud... hanya dongeng dan mitos arena kemajuan. Disaat bayi kecil itu lapar, diberi ibu itu susunya. Disaat ibu itu lapar, diberi suaminya beras. Disaat suami itu pula lapar, nasi yang ditanak dimakan bersama. Disaat suami itu balik dengan tangan kosong, maka ada saja jalan Tuhan dalam membuka pintu. Seribu pintu yang gelap seakan terbuka oleh satu kuasa yang menggunakan pelbagai cara yang wujud. Ketidakcukupan itu tidaklah wujud, yang ada hanyalah rasa yang tidak pernah cukup, hawa nafsu yang dahaga, dan paling merbahaya adalah iman yang luntur... jua diri insan yang tidak dipenuhi syukur. Sehingga muncul istilah ketidakcukupan. Sepertimana keadaannya gelap yang tidak wujud, yang ada hanyalah sebuah keadaan yang tiada mempunyai cahaya. Begitu juga situasinya seperti sejuk, yang ada hanyalah sebuah keadaan berkurangnya haba. Itulah perkaranya, kita memang sering merasa tidak cukup, kerana yang ada hanyalah kurangnya rasa syukur.

Sehingga kecukupan itu pudar......

Share this:

TENTANG SAYA

Seorang manusia seperti anda yang menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Kita sama sahaja.

0 comments:

Post a Comment