Cerpen.
Jangan tanya kesahihan cerita ini, kerana diri ini sendiri tidak pasti.
----------
Ini aku.
Seorang kakak kepada Izhar.
Seorang perempuan.
Berumur 30 tahun.
Bernama Suraya.
Penampilan macam dialah yang paling bahagia dalam dunia.
Ini dia.
Seorang adik kepada Suraya.
Seorang lelaki
Berumur 28 tahun.
Bernama Izhar.
Penampilannya, usah dicerita. Serabai.
Kadang T-shirt merah darah ikan, dipakai selama berminggu-minggu.
Kadang T-shirt bewarna biru cerah, dipakai juga selama berminggu-minggu.
Kadang T-shirt yang tertulis slogan "1 Malaysia", dipakai mungkin hanya selama seminggu.
Macam biasa, keluar 2, 3 pagi balik keesokan pagi.
Tak pernah mencuri. Kalau nak duit, tinggal kata, "Mak nak duit."
Bekas pelajar pondok.
Suraya bercakap dengan Izhar mungkin sekali setahun.
----------
Aku benci Izhar.
Izhar selalu menyusahkan mak.
Lagi baik dia mati dari hidup menyusahkan orang.
Maka, bermula dari hari tu, Aku ada satu misi dan visi supaya Izhar cepat mati.
Dan caranya adalah dengan mendoakan agar Izhar ni cepat-cepat meninggalkan dunia ni.
Aku tak sanggup nak hidup dalam neraka lagi. Aku nak dia pergi, tinggalkan kami sekeluarga, jalani kehidupan secara normal dan bahagia. Salah aku ke kalau aku bercita-cita sedemikian?
Izhar ni memang jahat, dia buat kerja haram hari-hari. Jadi keldai dadah. Hina sungguh.
Pernah tengok drama penagih dadah curi duit mak bapak dia? Rampas rantai emas mak dia? Semata-mata nak beli benda haram. Macam mana situasi diorang? Oh, cuba bayangkan sekali ada satu budak kecil tengah tengok adegan rampas-merampas tu. Trauma bukan?
----------
Bila Izhar dapat peluang pekerjaan sebagai tukang kebun di sebuah Jabatan Pendidikan selepas beberapa bulan keluar dari lokap buat kali kedua. Dia mengerah tenaga. Gaji dia hampir separuh diberi pada mak.
"Saya takkan beri duit haram pada mak," katanya.
Mak bangga, sedang anaknya yang lain jangan diharap hendak beri wang.
----------
"Dik, kalau adik nampak jiran sebelah rumah ni panjang tangan. Adik cakaplah dekat mak, sebab haritu mak ada nampak jiran sebelah ni check mesin jahit mak. Macam cari sesuatu. Mak biasa letak duit kat situ. Lepas mak tegur dia, dia lari dan buat macam takde apa-apa."
"Saya dah tau dah mak, saya dah pernah nampak haritu," kata izhar.
"Kenapa tak bagitau mak?"
"Saya ni kan orang macam ni, kalau saya bagitau, takkan la ada orang nak percaya, jadi saya diamkan saje."
----------
"Salah mak ke adik jadi macam ni?"
"Tak, adik yang pilih jalan ni. Mak dah didik adik cukup lengkap dah. Sendiri pilih, sendiri tanggung."
----------
Sehari sebelum Izhar dijatuhkan hukuman penjara kali ketiga.
Aku dan adik tengah on laptop dekat dapur. Aku bunyi suara Izhar menangis.
Aku intai tengok dari jauh. Ada dua anggota polis sedang menggeledah bilik-bilik yang ada dalam rumah tu.
Aku tutup suis plug laptop, aku tarik tangan adik berlari keluar ikut pintu dapur.
Empat kaki aku dan adik yang tak beralas harungi tanah bercampur air hujan. Berlari jauh. Kerana aku tidak mahu terjebak dalam soal jawab bersama polis tersebut.
----------
"Apa ni?" tanya aku sambil ingin mengoyak keratan penyedut minuman yang dililinkan hujung bawah dan hujung atas. Didalamnya terdapat dua biji pil seakan-akan gula-gula.
Aku boleh jamin kalau kanak-kanak tengok, memang dia akan makan.
Dan iye, itu dadah.
----------
"Jomlah adik, pergi hospital, bengkak sangat dah kaki ni," ujar mak.
"Izhar taknak menyusahkan mak, takde apa-apa ni. Esok baiklah ni."
"Kalau kau ni budak kecil, memang mak dukung bawak pergi hospital."
----------
"Mak pernah dengar tak cite ada seorang hamba Allah ni ditempatkan di neraka atas dosa-dosa dia. Setelah dia habis menjalani hukuman di neraka, dia akan dipindah ke syurga. Tapi semasa dalam perjalanan ke syurga, ramai makhluk yang mengejek dia. Mengatakan bahawa dia sungguh hina untuk ke syurga. Maka dia sedih, putus harapan. Dia berpatah semula ke nereka," terang Izhar panjang.
"Maafkan mak, Izhar."
----------
"Assalamualaikum, Izhar dah takde."
Setelah mendengar baris kata itu, Suraya lupa cara hendak bernafas. Suraya buntu. Lutut suraya lembik. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Mata Suraya kabur, diselaputi dengan titis-titis air mata.
----------
Sehari sebelum Izhar meninggalkan dunia.
"Aku mintak maaf, Suraya."
Tangan Suraya digapai Izhar. Erat dipegangnya. Satu perasaan dan situasi yang tak mungkin pernah diangankan oleh Suraya. Dia sekarang memegang tangan adiknya. Tangan kasar lelaki itu, dipegang erat. Suraya seakan tidak percaya.
Muka Izhar bersih, sebersih air embun yang tidak akan tercemar.
Sekali sekala titisan embun terbit dari celah-celah mata Izhar, lalu dihapus oleh tisu merah jambu di tangan mak.
"Aku mintak maaf, Suraya," sekali lagi Izhar menyuarakan hati.
Suraya tersenyum, dia membelai rambut beruban milik Izhar. Dia baiki kedudukan rambut itu. Dia usap lembut tangan kasar Izhar.
"Aku redhakan segalanya, maafkan aku juga, Izhar."
Pada saat itu juga, Suraya melihat staff Hospital dan doktor sedang bergelak ketawa di suatu sudut berhadapan katil di ICU.
-----------
Hari pengebumian Izhar.
"Takziah," ucap seorang Ustaz yang mengajar di salah sebuah Pondok di pendalaman.
"Macam mana ustaz boleh kenal arwah Izhar ni?" Tanya ayah.
"Arwah selalu datang hujung minggu, tolong bersihkan pondok, cangkul-cangkul sikit, angkat-angkat keperluan pelajar. Tak dibayar pun, nampak keikhlasannya tu."
----------
"Takziah," ucap seorang Ustaz yang mengajar di salah sebuah Pondok di pendalaman.
"Macam mana ustaz boleh kenal arwah Izhar ni?" Tanya ayah.
"Arwah selalu datang hujung minggu, tolong bersihkan pondok, cangkul-cangkul sikit, angkat-angkat keperluan pelajar. Tak dibayar pun, nampak keikhlasannya tu."
----------
Sedang membersihkan bilik arwah Izhar, Suraya terjumpa belasan komik Naruto.
Dia capai dan buka. Kemas, elok.
Suraya tersenyum.
----------
Pergilah kau Izhar.
Doaku telah menjadi kenyataan.
Aku mahu kau kembali. Tapi....
Tidak mengapa jika kau kembali dan menjadi hina semula.
Aku akan terima insan hina itu semula.
Aku akan terima insan hina itu semula.
Kerana kau kini lebih mulia disisiNya
Nafas terakhir dihembus dengan lafaz syahadah yang mulia.
Sedang pengakhiran aku yang dianggap mulia ini belum tentu arahnya.
"Aku sayang kau, Izhar."
TENTANG SAYA
Seorang manusia seperti anda yang menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Kita sama sahaja.
0 comments:
Post a Comment